DPMM FC mara ke suku akhir Kejohanan Piala Malaysia



​​


Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 


BERAKAS, Sabtu, 24 Januari. -  Pasukan DPMM FC mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas terikat 1 - 1 menentang Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dalam perlawanan timbal balik yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Keputusan tersebut menyaksikan DPMM FC menang melalui agregat 3 - 1.


Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.


Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.


Berangkat sama, anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.


Pada babak pertama perlawanan, pasukan KRW FC membuka tirai jaringan melalui sepakan sudut seawal minit ke-8 apabila pemain pertahanan mereka berjaya menanduk bola ke gawang DPMM FC. Tiga minit kemudian, DPMM FC menyamakan kedudukan apabila Awang Hakeme Said menjaringkan gol hasil sepakan sudut terus ke gawang lawan. Kedudukan 1 - 1 kekal sehingga tamat perlawanan.


Pengurus DPMM FC, Jamie McAllister, dalam sidang media selepas perlawanan berkata, pasukannya mendominasi permainan pada separuh masa pertama dengan corak hantaran yang kemas dan tersusun.


Menurutnya, pada separuh masa kedua, pasukan KRW FC pula lebih menguasai tempo permainan dan mencipta beberapa percubaan berbahaya.


Beliau menambah, pasukannya akan membuat persiapan rapi untuk menghadapi pasukan Kuching FC pada pusingan suku akhir nanti.


Sementara itu, Pengurus KRW FC, Irfan Bakti, menyatakan rasa kecewa dengan keputusan perlawanan, namun berpuas hati dengan semangat juang yang dipamerkan oleh pemain-pemainnya sepanjang perlawanan.


DPMM FC seterusnya akan meneruskan kempen dalam Liga Super Malaysia dengan menentang Melaka FC pada 31 Januari 2026, jam 8.15 malam.


Close